Popular Posts

Wednesday, July 10, 2013

Tengku Zaihan Bercita-cita Naik Taraf Hidup Nelayan Sejak Di Universiti

       

BESUT, 10 Julai (Bernama) -- Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman amat memahami kesukaran hidup yang dihadapi golongan nelayan kerana sejak kecil kehidupannya dikelilingi masyarakat itu.

Jadi bukan sesuatu yang menghairankan apabila calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut itu sudah menanam cita-cita untuk membaiki taraf hidup golongan nelayan tatkala menjadi penuntut universiti.

"Dengan dikelilingi oleh masyarakat nelayan sejak kecil lagi, saya amat terharu dan sedih melihat (kesukaran) kehidupan mereka.

"Saya ini dari kalangan orang laut dan sekiranya diberi peluang, saya akan cuba sedaya upaya membantu mereka agar hidup mereka lebih bertambah baik dan meneruskan apa yang diperjuangkan oleh penyandang (kerusi DUN Kuala Besut)sebelum ini," katanya.

Tengku Zaihan berkata semasa berkhidmat sebagai jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut sebelum ini, beliau telah cuba membantu setakat yang terdaya seperti memastikan kaum nelayan mudah ke laut dan mendaratkan ikan di kompleks menerusi projek mendalamkan muara sungai Kuala Besut.

"Kini Allah SWT telah membuka peluang kepada saya dengan dipilih oleh kepimpinan BN untuk bertanding sebagai wakil rakyat pula dan peluang sebegini tidak akan saya lepaskan," katanya.

Tengku Zaihan, 37, berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Teluk Bayu di sini selepas menziarahi pusara bekas wakil rakyat DUN Kuala Besut Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia pada 26 Jun lepas, di sini hari ini.

Menurutnya, bekas wakil rakyat BN yang terdahulu termasuk Allahyarham Dr Rahman telah banyak melakukan kerja-kerja bagi membangunkan masyarakat nelayan di kawasan itu.

Justeru, katanya sekiranya diberikan mandat oleh penduduk Kuala Besut pada pilihan raya kecil DUN itu 24 Julai ini, beliau akan menyambung usaha itu bagi memastikan nasib kaum nelayan yang merupakan majoriti di Kuala Besut akan terbela.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia itu berkata selain menaik taraf hidup nelayan, beliau juga akan berusaha membangunkan sektor pelancongan berasaskan perikanan di Kuala Besut.

Terdahulu sebelum ke pusara, beliau menyampaikan Dana Bakti Remaja (DBR) kepada 2,132 remaja di DUN Kuala Besut bertempat di Dewan Orang Ramai Seri Seratus di sini.

DUN Kuala Besut merupakan DUN pertama di Terengganu mengagihkan DBR dengan setiap seorang menerima RM200.

-- BERNAMA--

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © . KeyBodRosak - Posts · Comments
Theme Template by BTDesigner · Powered by Blogger